ASTRO OASIS DEDAH CARA PERANGI SIHIR
-mStar Online (Rabu, 9 Mei 2012)
PAKAR perunding ilmu spiritual Datuk Engku Ansaruddin Agus (Pak Engku) menegaskan tidak gentar untuk berhujah mengenai senario ilmu sihir melalui program televisyen kerana merasakan ia wajar didedahkan kepada masyarakat.
Pak Engku, 60, berkata, walaupun ilmu sihir adalah sesuatu yang digeruni dan sensitif di kalangan masyarakat tetapi dia terpanggil untuk memberikan pendedahan berdasarkan pengalamannya sebagai pengamal perubatan alternatif selama 42 tahun.
“Saya akui sihir bukan perkara main-main dan memang mencabar. Jarang ada pihak yang berani untuk berhujah atau memerangi perkara ini secara terbuka apatah lagi menerusi program televisyen. “Namun, saya tidak ragu-ragu atau gentar untuk menentang sihir kerana ia adalah satu kerugian jika saya tidak berkongsi ilmu dan pengalaman yang dimiliki ini untuk membantu masyarakat,” katanya kepada mStar Online.
Pak Engku berkata demikian selepas mengacarakan rakaman program terbaru berjudul Perangi Sihir (PS) di Pusat Penyiaran Asia Astro, Bukit Jalil di sini, malam Isnin. Program bual bicara mingguan ini disiarkan selama 30 minit menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106) pada setiap Isnin bermula pukul 7.30 malam sebanyak 13 episod.
Pak Engku berkata, umat Islam tidak perlu berasa takut atau tunduk kepada gangguan serta godaan jin dan syaitan, sebaliknya menentang amalan sihir tanpa tolak ansur.
“Sihir boleh dilawan jika kita mempunyai kekuatan rohani dan metafizik serta amalan yang cukup. Sebagai hambanya, kita wajar berusaha dan berserah selebihnya kepada Allah. “Saya tidak akan berkompromi dengan jin dan syaitan. Unsur-unsur kejahatan ini harus diperangi, ditangkap dan dibunuh,” terang pemilik Pusat Rawatan Komplimentari Yashfien Herbs di Sungai Besi ini.
Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Oasis Izelan Basar berkata, pihaknya bertanggungjawab untuk menyiarkan kandungan yang berguna termasuklah program berkaitan ilmu sihir yang boleh memberikan panduan dan manfaat kepada masyarakat.
“Kami ingin membantu masyarakat yang berdepan masalah berkaitan sihir untuk memperoleh maklumat dan berkongsi pengalaman mereka berdasarkan topik-topik perbincangan dengan Pak Engku.
“Sejak idea program ini dibentangkan, kami menghadapi pelbagai halangan dan gangguan sehingga ke hari pertama rakamannya. Namun, ia tidak menggoyahkan semangat kami untuk meneruskan penyiaran program ini,” jelasnya. PS bakal memaparkan perbincangan Pak Engku dengan tetamu jemputan di studio mengenai pelbagai masalah berkaitan sihir daripada perspektif Islam serta kupasannya menerusi dalil (bukti) Al-Quran dan sunnah.
Antara topik perbincangan termasuklah Apa Itu Sihir dan Simptom Terkena Sihir, Kesan dan Akibat Terkena Sihir, Padah Bagi Pengamal Sihir, Contoh-contoh Amalan Sesat, Benteng Diri dan Rawatan Dengan Berzikir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan