Penyakit dan manusia
Sebagai manusia biasa yang diciptakan Allah , kita sering diuji dengan berbagai dugaan. Salah satu bentuk musibah yang selalu melanda manusia adalah di dalam bentuk penyakit-penyakit. Dengan ada yang demikian maka manusia diuji tahap kesabaran dan redha serta tawakal dan harapannya kepada Allah yang Maha Berkuasa. Lantas dengan itu keimanan seseorang itu bertambah mantap serta mendapat keampunan dan rahmat Allah yang maha luas.
Adalah tidak tepat jika seseorang yang berpenyakit itu terus berserah kepada Allah tanpa mencari ubat dan rawatan. Tidak boleh pula,setelah sembuh dari penyakit kerana ubat dan rawatan maka dia mengatakan kesembuhan itu disebabkan ubat atau doktor atau perawat tersebut. Perlu difahamkan bahawa yang sebenarnya menyembuhkan adalah Allah jua. Cara perawatan tersebut hanya medium asbab sahaja . Kalau Allah mahu menyembuhkan walaupun tanpa asbab-asbab tersebut tentu sahaja boleh.
Apakah itu penyakit? Segala rasa tidak selesa, sakit pedih , derita batin dan tidak tenang hati dan minda boleh dikatakan sebagai penyakit. Untuk memudahkan perbincangan maka kami secara umum mengkelaskan penyakit sebagai berikut:
Jenis penyakit:
1. Penyakit fizikal .
Penyakit fizikal adalah semua bentuk penyakit yang memang dialami manusia secara fizikal sahaja disebabkan gangguan pada sistem fisiologi dan fungsi tubuh. Penyakit jenis ini biasanya dirawat oleh doktor perubatan moden di klinik-klinik atau di hospital menggunakan teknologi dan sains . Contohnya seperti jangkitan kuman , penyakit genetik , penyakit hormon , penyakit jantung , darah tinggi dan lain-lain.
2. Penyakit mental
Penyakit mental adalah semua bentuk penyakit yang berkaitan fungsi mental yang melibatkan daya fikir, membuat keputusan yang rasional , pengawalan emosi, kebolehan berhubungan sosial dan daya pembelajaran . Penyakit jenis ini kebanyakannya disebabkan faktor tekanan atau stress yang berlebihan sehingga pesakit tidak dapat mengawal diri dan minda. Contohnya seperti
penyakit ketakutan berlebihan (phobia) , kemurungan berlebihan (major depression) , kebimbangan berlebihan (anxiety disorders) , penyimpangan seksual dan lain-lain. Secara umum penyakit ini di rawat oleh pakar kaunseling , pakar psikologi atau pakar psikiatri.
3. Penyakit hati ( kalbu )
Penyakit ini merujuk kepada apa- apa yang diperbincangkan di dalam ilmu tasauf Islam. Contohnya penyakit hasad dengki, penyakit tamak haloba , penyakit munafik dan lain-lain lagi.
Penyakit jenis ini perlukan kekuatan iman dan spiritual , mujahadah berterusan dan bimbingan dari guru-guru (orang yang arif lagi alim) yang khusus.
4. Penyakit gangguan jin , syaitan dan iblis
Penyakit jenis ini memang melibatkan gangguan jin dan sekutunya secara langsung. Gangguan ini boleh disebabkan oleh: i) jin yang mengganggu manusia kerana dia membalas dendam , singgah atau jin itu suka dengan seseorang itu.
ii) jin yang dihantar dengan tujuan untuk membuat penyakit atau dinamakan sihir.
iii) jin yang melibatkan keturunan dari satu generasi ke satu generasi atau biasanya dipanggil saka .
iv) jin yang diseru dalam pengamalan ilmu seperti di dalam ilmu silat tertentu atau ilmu pengasih, ilmu penunduk, kebal dan lain-lain.
Seperti yang telah kami maklumkan , kami akan memberi tumpuan penuh di dalam membincangkan tajuk keempat ini.
Apa yang menarik dari pengamatan kami , penyakit gangguan jin ini boleh juga mirip-mirip atau menyerupai terus penyakit fizikal dan penyakit mental yang telah kami bincang sebelumnya. Contohnya sakit kepala (migraine) atau sakit belakang yang menyerupai penyakit fizikal tetapi setelah di rawat oleh doktor tetap tidak sembuh. Berbagai ubat dan kaedah rawatan fizikal dibuat tetapi tidak berkesan. Bila diperiksa secara rohaniah ,rupa-rupanya ada gangguan jin disebalik itu. Begitu juga penyakit was-was yang pada dasarnya adalah gangguan mental tetapi di dalam kebanyakan kes rawatan kami ia merupakan gangguan hasutan syaitan iblis yang berada di dalam tubuh pesakit tersebut. Apatah lagi penyakit hati ( kalbu ) yang sememangnya ada pengaruh hasutan syaitan iblis yang ingin melihat zuriat keturunan Adam ini sesat dan dimurkai Allah sentiasa.