Sabtu, 23 Jun 2012

ARTIS MANGSA SIHIR


RAHSIA ILMU HITAM

RAHSIA ILMU HITAM
Oleh Elrafaei Sapi (Harian Metro, Isnin 28 Mei 2012)


CERITA sihir atau gangguan makhluk halus suatu yang lazim berlaku dalam kehidupan masyarakat Melayu. Malah, cerita sebegini juga kerap kali dijadikan plot dalam filem dan drama.

Jika filem dan drama seram menerima sambutan positif penonton, penerbitan program TV juga penting untuk mengupas perkara mistik ini lebih mendalam.

Namun, sejauh mana program ini mampu mendedahkan pengalaman mangsa atau membuka rahsia pengamal, apa yang diharapkan ia menjadi pengajaran untuk dikongsi bersama penonton.

Saluran Islamik, Astro Oasis (saluran 106) meneruskan usaha mendidik dan menghiburkan penonton dengan menyalurkan kandungan program bermutu.

Menerusi program baru, Perangi Sihir yang mula disiarkan sejak 7 Mei lalu, penonton berpeluang mendapat maklumat lebih tepat mengenai amalan sihir bersama Pakar Khidmat Runding dan Nasihat Spiritual, Datuk Engku Ansaruddin Agus, 60, atau lebih dikenali sebagai Pak Engku.

Dia berpandangan tidak ramai penonton sanggup berkongsi secara terbuka, malah penerbitan program ini juga dibimbangi segelintir pihak yang menganggap ia memberi tanggapan negatif.

“Saya pernah ditemubual dan kemudian memberi cadangan agar topik sihir ini dibincangkan lebih terbuka tetapi beberapa pihak tidak berani melakukannya. Sebaliknya, Astro Oasis memberikan peluang sepenuhnya pada saya untuk membincangkan perkara ini lebih mendalam.

“Kisah masyarakat berdepan gangguan ilmu hitam sudah banyak berlaku, tetapi ia masih memberi pengajaran berguna untuk dikongsi bersama penonton.

“Sejak zaman 80-an, saya banyak kali memperkatakan perkara sihir ini dan saya tegaskan kita seharusnya memerangi sihir. Sihir tidak kuat sekiranya dalam diri mempunyai kekuatan spiritual yang cukup,” katanya selepas rakaman program Perangi Sihir di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pak Engku yang bertindak sebagai pengerusi eksekutif pusat perubatan Yashfien Herbs Sdn Bhd menjelaskan, mangsa yang disihir mengalami perasaan gementar dan degupan jantung kencang.

Berpengalaman selama 42 tahun merawat pesakit, Pak Engku mendedahkan golongan artis tempatan juga antara pesakit yang mendapatkan rawatan daripadanya.

“Ramai artis datang berubat dengan saya seperti ada penyanyi mengalami situasi tidak dapat mengeluarkan suara ketika mahu menyanyi di pentas. Setakat ini, 85 peratus pesakit yang dirawat sembuh dan saya juga masih belum habis belajar ilmu rawatan ini,” katanya yang pernah menuntut dengan 72 guru.

Program ini yang bersiaran setengah jam memberi peluang ke pada penonton berinteraksi bersama Pak Engku menerusi panggilan telefon, facebook dan twitter. Penonton bertuah ini diberi kesempatan berkongsi masalah dan mendapatkan nasihat Pak Engku.

Kepada penonton Astro Oasis (saluran 106), saksikan program Perangi Sihir disiarkan setiap Isnin, jam 7.30 malam.